http://www.emocutez.com http://www.emocutez.com http://www.emocutez.com http://www.emocutez.com http://www.emocutez.com http://www.emocutez.com

Followers

Sunday, February 26, 2012

SELIMUT HITAM



Semalam aku pulang agak awal dalam jam 3 petang menaiki bas kerana ingin menyiapkan tugasan yang sudah menimbun-nimbun.Tetapi setibanya aku di kawasan Pedas Linggi, bas yang aku naiki tiba-tiba bergerak perlahan. Aku menjenguk keluar melihat kenderaan di Lebuh raya Utara Selatan itu mula mengensot-ngensot dan aku sudah menjangkakan pasti ada berlaku kemalangan.Kawasan tersebut memang selalu berlaku kemalangan jiwa. Baru seminggu lepas, jiran berhampiran rumah, anaknya meninggal kerana terlibat dalam kemalangan berhampiran kawasan Pedas Linggi itu.  Setiap kali berlaku kesesakan lalu lintas di lebuh raya tanggapan aku hanya satu. Kemalangan!Aku mempunyai fobia terhadap kemalangan jalan raya.Fobia ini terjadi ketika aku masih keanak-anakan.Aku pernah melihat sendiri dengan mata kepalaku, darah mayat seorang pemuda mengalir dari kepalanya dan bertakung di dalam sebuah lubang seperti air yang tumpah. Kemalangan tersebut melibatkan motor yang dinaiki pemuda itu dengan sebuah bas kilang.Dasyat!Setiap kali ada kemalangan di lebuh raya yang disaksikan aku,pasti jantung aku rasa bagai direntap-rentap.

Beralih pada kemalangan yang berlaku semalam.Sebaik sahaja bas hampir melintasi  kawasan kemalangan, rintik-rintik hujan mulai turun.Aku melihat sekujur mayat yang berselimutkan plastik hitam disirami air hujan yang turun menyimbah bumi di bahu lebuh raya tersebut. Tiba-tiba hatiku menjadi sayu mengenangkan mayat tersebut. Hujan mengiringi pemergian jenazah atau si mati. Kemalangan tersebut melibatkan motor dan kereta. Motor tersebut hancur teruk dan kemungkinan besar mayat yang berselimutkan plastik hitam itu ialah penunggang motor. Statistik kemalangan menunjukkan penunggang motosikal antara mangsa yang tertinggi terlibat dalam kemalangan. Oleh itu, bagi penunggang motosikal perlulah berhati-hati di jalan raya walaupun seperti yang kita tahu ajal dan maut di tangan Tuhan.

Sunday, February 12, 2012

Ibu oh ibu!

Sudah lama rasanya tidak menulis.Malam ini serasa teringin hendak menulis.Baru 3 jam berjauhan dengan ibu aku sudah rindu padanya.Alhamdulillah ibu sudah hampir sembuh dan mampu menguruskan dirinya.Cuma luka di kakinya belum sembuh.Aku risau padanya kerana di rumah tiada sesiapa yang dapat menyediakan masak makan untuknya.Jika hendak dibandingkan sebelum ini mak ngah yang menyediakan makanan untuk ibu tetapi memandangkan ibu telah pulang ke Melaka segalanya ibu terpaksa uruskan sendiri. Tetapi aku percaya ayah boleh membantu ibu. Ibu hendak pulang ke Melaka kerana rindu pada adik dan rumahnya.Suami??Mestila tersangat rindu.Lagipun ibu tidak betah tinggal lama di rumah orang.Tetapi aku bersyukur kerana adik-beradik ibu sangat mengambil berat perihal ibu.Mereka semua sanggup berhabis duit, masa dan tenaga bagi memastikan ibu sembuh.Ketika ibu sakit dahulu semua adik-beradik ibu berkumpul di rumah pak njang.Pak Njang setia menemani ibu kala ibu tinggal di rumahnya.Mak Ndak berulang-alik dari pejabatnya di Subang ke Hospital Serdang.Mak Ngah pula berulang-alik saban minggu dari Kampar,Perak . Mak Lang pula sanggup datang dari Pulau Pinang menemani kami ketika kami berkampung di Hospital Serdang.Walaupun Pak Itam yang tinggal di Pulau Pinang tidak  dapat berkumpul sekali, dia membuat kenduri doa selamat untuk ibu di surau berhampiran rumahnya. Doa untuk ibu dia kirimkan dari jauh. Bukan perihal ibu sahaja yang mereka ambil berat tetapi juga perihal kami adik-beradik.Aku sangat berterima kasih kepada mereka.

Sejak ibu pulang Jumaat yang lalu ayah rajin ke dapur.Memasak seafood paprik untuk kami dan ikan goreng untuk ibu.Untuk sarapan ayah memasak nasi goreng dan sambal udang. Selepas makan ayah mengemas meja makan.Aku lihat ayah aku semakin rajin dan mesra melayani ibu.Mungkin ayah rindu pada ibu memandangkan sudah sebulan ibu berada di Perak dijaga oleh mak ngah. Ingin bermanja la katakan . Ayah , ibu dan adik ku yang paling kecil berhimpit di katil 'single' yang terletak di hadapan tv di ruang tamu. Aku bahagia melihat situasi itu.Aku 'respect' dengan ibu bapaku kerana walaupun mereka sudah berusia  tetapi mereka masih boleh bermanja-manja di depan kami adik-beradik. Contoh yang sangat baik dan aku harap aku juga akan bahagia seperti mereka apabila aku sudah berkahwin kelak.Wah, berpandangan jauh nampak!
Ibu tidak berapa berselera makan.Sebelum pulang tadi aku masakkan ibu bihun 'singapore'. Dia nampak berselera makan dan berjaya menghabiskan bihun itu malahan adikku yang paling kecil menyibuk ingin berkongsi bihun itu bersama-sama ibu. Aku pulang dengan hati yang lega dan berharap ibu cepat sembuh.Amin

Wednesday, January 4, 2012

Maaf


Hari ni ku rasa seperti perasaan ku dimainkan.Aku rasa seperti hendak bunuh dia.Aku selalu memarahi dia dan dia juga begitu.Seperti kebiasaan, kami selau bertengkar.Macam-macam isu boleh timbul.Aku benci dia.Aku semacam hendak terbang jauh agar aku tidak bisa ingat akan dia.Agar aku tidak perlu merasa sakit hati padanya.Dia selalu melakukan kesalahan dan hanya perkataan maaf meniti di bibirnya.Pada awal perkenalan dulu,perkataan maaf itu masih boleh kuterima tetapi jika seribu kemaafan diungkapkan selari dengan seribu kesalahan yang dilakukan,apakah yang tinggal pada makna kemaafan itu.Aku menjadi terlalu muak.Bagiku kata kemaafan yang diungkapkan kini tidak seikhlas dulu.

Kini ku rasakan dia seperti orang gila dan dia juga memaksa aku menjadi gila sepertinya.Hari ini dia bilang lain dan esok pula lain yang diisukannya.Hari ini angan-angankan itu,hari esok angan-angankan yang lain pula.Gila!!Aku tidak menjangkakan aku boleh mengenal orang gila sepertinya.Dia sangat berbeza seprti dia yang dulu.Manusia berubah.Pokok yang berbunga pun boleh layu inikan lagi manusia.Aku sangat kasihan padanya.Itu sahaja yang mampu ku ungkapkan kini.Aku rasa sedih pada nasibnya.Jika dulu rasa sayang itu masih ada tapi kini rasa itu hanya tinggal debu-debu yang menunggu masa angin membawanya pergi jauh.Dahulu aku dambakan kata maaf darinya tapi kali ini aku pula yang ingin memohon maaf padanya.Aku ingin memohon maaf jika aku penyebabnya gila.Aku ingin memohon maaf jika aku tidak mampu bertahan lagi di sisinya. Di sini ingin ku sampaikan pesan,hiduplah kau dalam dunia kau sendiri tanpa aku.Aku harap perkara yang pernah terjadi antara kita dapat membuatkan kau lebih matang dan kau boleh mula belajar mengenal realiti sebenar.Jangan hidup dalam angan-anagn yang kau binakan sendiri.Maafkan aku

Friday, December 2, 2011

Kisah Duka



Rutin harian ku saban hari sama saja.Bangun seawal 6 pagi untuk menunaikan solat subuh dan kemudian menyambung balik tidurku hingga cahaya mentari menyuluh menyinari kamar di mana tempat aku dan keluargaku berkampung hampir seminggu yang lalu. Sejak ibuku menjalani pembedahan Selasa lalu, di balai pelawat inilah tempat kami menumpang. Jika hendak ulang-alik dari Melaka agak jauh dan jika hendak tinggal di rumah ibu dan bapa saudaraku, perjalanan dari Hospital Serdang ini ke rumah mereka juga mengambil masa yang agak lama.Selain menjimatkan masa dan wang ringgit, tinggal di sini juga membuatkan aku dan keluarga lebih dekat dengan ibuku dan juga jika ada kecemasan senang untuk dihubungi.

Tepat jam 12.30 tengah hari aku dan ayah akan menemani ibu di wad hingga jam 2.00 petang dan akan menemaninya kembali jam 4.30 petang hingga 7.30  petang. Pabila waktu makan tengah hari tiba, aku akan membeli nasi bungkus dan membawanya ke bilik untuk dikongsi bersama-sama adik-beradikku yang lain. Di sini kami harus berjimat. Aku tidak mahu membebankan ayahku memandangkan kos untuk menanggung rawatan ibuku agak tinggi. Di tambah pula dengan yuran persekolahan adik-adikku yang perlu dibayar bagi sesi persekolahan baru tahun hadapan yang akan bermula tidak lama lagi.Bagi menu makan malam kami tidak perlu risau kerana ibu saudaraku akan menghantar bekalan makanan buat kami.

Ibuku ditimpa sakit sejak hampir 3 bulan yang lalu. Pelbagai rawatan  telah telah dicuba tidak kira rawatan menggunakan alatan moden dan canggih mahupun rawatan tradisional dan menggunakan cara Islam.Sudah banyak hospital telah ibu pergi untuk mendapatkan rawatan dan juga telah banyak ustaz telah ibu temui bagi menyembuhkan penyakitnya. Bermula dengan penyakit gastrik dan angin sehingga kini ibu disahkan menghidap penyakit jantung tersumbat dan memerlukan pembedahan untuk membina saluran baru di jantungnya. Bagai ditimpa malapetaka, kami sekeluaraga menerima ujian ini dengan redha dan memberi semangat buat ibuku. Ibu tidak mahu menjalani pembedahan ini kerana dia takut dan ngeri dengan perkara tersebut tapi kami memberikannya kata-kata nasihat. Kami lakukan ini kerana sudah tidak sanggup lagi melihat penderitaan yang ditanggung oleh ibu. Andai sakit itu boleh ditukar kepadaku yang masih muda dan kuat ini, sudah lama ku lakukan.Tapi apakan daya,semua ini ujian daripada Yang Maha Esa.Kita hanya mampu berikhtiar dan berderah kepada-Nya.

Thursday, October 20, 2011

ITU DULU





Kesuraman malam tanpa kerdipan bintang. Sesuram jiwaku ini. Dirundum sepi keseorangan. Hanya terdengar bunyi cengkerik memecah kesunyian. Peneman dan penghibur setia kala malam. Aku terlihat sepasang kekasih. Begitu jelas kegembiraan di wajah mereka. Teringat daku pada peristiwa lalu. Aku juga pernah merasa bahagia seperti mereka.Tapi itu dulu. Kini hanya tinggal aku dan kenanganku.

Perlukah aku menangis?? Bahagiakah aku tanpa dia?? Deritakah aku tanpa bayangnya?? Bercampur baur perasaanku, terbuku menjadi satu
.
“Selamat pagi sayang! Tidur lagi ke?? Anak dara tak elok tidur lama-lama. ”

“Kita dah bangunla. Pandai je tuduh-tuduh kita.”

Itulah halwa telingaku  saban pagi.Aku membahasakan diriku ‘kita’ padanya. Tapi itu dulu bukan kini. Rindukah aku padanya?? Soalan itu aku tanya berulang-ulang kali pada diriku. Tapi tidak kutemu jawapannya.
Dulu dialah segalanya bagiku. Selepas keluargaku, keutamaanku hanyalah dia. Hanyalah dia. Kucurahkan rasa kasih dan sayang sepenuh jiwa. Air di lautan belum tentu dapat menggantikan rasa kasih yang telah kuberikan padanya.

Kata orang, cinta itu buta dan boleh membutakan. Tapi aku kurang bersetuju. Cinta itu mempunyai mata. Mata hati yang menjadikan cinta itu tidak buta. Pabila insan itu tidak punya mata hati, butalah cintanya. Tergapai-gapailah insan itu umpama puing-puing di lautan dalam kegelapan cinta yang diciptakannya sendiri. Padaku cinta itu jika diberi nyawa dan roh padanya, akan hiduplah ia selama-lamanya. Secangkir rindu, secawan kesetiaan, sekukuh kayu meranti kasih sayang, selaut kejujuran dan sesuci kain putih keikhlasan. Itulah rencah-rencah percintaan. Itulah yang pernah aku praktikkan dahulu.

“Sayang tengah buat apa? “

“Kita tengah siapkan teks untuk pengacaraan majlis esok. “

“Oh! Buat yang terbaik. Fiz tahu awak mampu buat. Awakkan Hebat. “

“Terima kasih Fiz. “

Itulah kata-kata semangat yang diberi padaku tanpa aku pinta. Itulah yang kudambakan daripadanya saban waktu. Penyunting semangat untukku melangkah jauh meneruskan cita-citaku. Aku dan dia umpama irama dan lagu. Serbuk kopi dan susu. Walaupun serbuk kopi itu hitam dan pahit tetapi bertemu susu yang putih dan manis, ianya berubah menjadi minuman yang cukup digemari ramai. Itu dulu bukan kini.

“ Kita putus! Teruskanlah hidup kau tanpa aku. Aku ini tak sehebat kau. Belajar pun tak setinggi mana. Aku hanya mampu medongak ke atas memandang kau yang jauh lebih tinggi daripada aku. Aku memang tak layak untuk kau! Mungkin ada insan yang lebih setanding berada di sisi kau berbanding aku yang hina ini. Aku tidak mampu memberikan kau apa-apa!“

Masih terngiang-ngiang kata-kata itu di telingaku. Bagai guruh yang berdentum dan petir yang menyambar. Gugur air mataku seperti turunnya rintikan hujan tatkala petir dan kilat sambung-menyambung. Ketika aku bersama-sama dia, aku berdoa semoga aku tidak akan mendengar ungkapan seperti ini walaupun cuma sekali. Tapi inilah ungkapan yang membuatkan hatiku berkecai menjadi kepingan-kepingan kecil seperti terhempasnya kaca di lantai. Terpukul jiwaku dan sakitnya  bagai disayat-sayat. Hanya Tuhan yang tahu perasaan aku ketika itu. Aku tidak menyangkakan begitu bisa kata-kata yang dihamburkan padaku. Dia insan yang kusayang tapi aku tidak nampak di mana perginya sayang itu tika dia berkata sedemikian.

“ Fiz,nanti kerja elok-elok tau. Bila dah stabil awak boleh dapat apa yang awak nak. Boleh beli kereta, bagi duit pada mummy dan ayah, boleh bawa kita jalan. Mesti seronok kan. “
Tak sabar rasanya nak tunggu detik-detik sebegitu. Aku berbicara sendiri. Walaupun dia tidak sehebat aku, walaupun dia tidak belajar setingi aku tetapi semangat yang ada padanya membuatkan aku terus untuk berada di sampingnya.

“ Fiz minta maaf kalau Fiz tak mampu bagi apa yang awak nak. Fiz tak macam awak. Belajar pun tak setinggi mana. Tapi Fiz akan cuba buat yang terbaik untuk diri Fiz, keluarga Fiz dan juga untuk awak. Terima kasih kerana sentiasa berada di sisi Fiz. “

Aku cuma insan biasa. Aku tidak bisa mengubah dunia tapi aku percaya aku mampu memberi harapan pada dia agar dia tidak berasa terpinggir berada di sampingku. Itu tekadku. Alhamdulillah, aku diberi didikan yang cukup baik daripada orang tuaku. Aku berterima kasih kepada mereka kerana mereka aku berada di tempat di mana aku berada sekarang. Aku tidak memandang status, pelajaran dan harta dunia seseorang itu tetapi cukuplah dengan ketaatan dia pada agamanya, kedua ibu bapanya dan kejujuran hatinya menerima aku. Itulah yang ada pada Fiz suatu tika dulu. Aku terus-terusan memberi dia nasihat dan dorongan. Walaupun dia tidak berjaya tika zaman sekolahnya seperti aku, mungkin rezeki dia pada pekerjaannya. Semua itu tidak mustahil. Itulah yang aku ingatkan padanya berulang-ulang kali.

AKAN BERSAMBUNG..
Inilah coretan pertama aku..minta jasa baik komen untuk diperbaiki..Terima kasih